RASUAH SATU JENAYAH, MENGAPA DIPOLITIKKAN?
Oleh NORFARAHANIS BT NOOR ZERI
Rasuah merupakan satu jenayah yang didefinisikan melanggar undang-undang di mana seseorang mendapat kebebasan kontrak, atau keistimewaan (favours) daripada pihak berkuasa atau sesebuah syarikat selepas memberi wang, hadiah, keraian kepada pihak-pihak tersebut. Perilaku rasuah ini merupakan perilaku yang terbukti merugikan serta membawa impak yang buruk bukan sahaja terhadap individu malah terhadap masyarakat, agama dan negara. Paling memburukkan lagi apabila terdapat sesetengah pihak yeng mengganggap rasuah adalah satu perkara yang dipolitikkan bagi kepentingan peribadi.
Bagi merungkai fenomena ini, satu forum akademik yang bertajuk “Rasuah Satu Jenayah, Kenapa Dipolitikkan?” telah diadakan di Dewan Sri Bestari, INTEKMA Resort yang dirasmikan oleh Naib Canselor Universiti Institut Teknologi Mara (UiTM) Y. Bhg. Dato' Prof Ir Dr Sahol Hamid Abu Bakar, Sabtu lalu.
Seramai kira-kira 500 orang pelajar termasuk pensyarah serta staf membanjiri dewan tersebut untuk mengikuti forum yang dianjurkan hasil kolaborasi tiga bidang pengajian iaitu Fakulti Sains Pentadbiran & peng. Polisi, Komunikasi & peng. Media serta Pengajian perundangan yang membariskan nama-nama panel yang cukup terkenal bagi membincangkan isu dan permasalahan terkini.
Antara barisan panel adalah Dato’ Paul Low, Presiden Transparensi Antarabangsa Malaysia (TI-M), Ahli Lembaga Penasihat Malaysia Think Tank dan turut membincangkan pandangan media dan pembangunan moraliti adalah En. Akhbar Satar, Pengarah Korporat Integrasi Servis serta Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia yang tidak asing lagi bagi kita.
Penganjuran forum akademik ini juga dilihat sangat kena pada masanya ketika isu-isu ini masih berlaku dikalangan masyarakat dan organisasi di negara kita. Melalui ucaptama Y. Bhg. Dato’ Naib Canselor UiTM, gejala rasuah yang berlaku dikatakan mampu mengganggu gugat keseimbangan politik seterusnya menjejaskan keselamatan dan keamanan negara. Tambah beliau lagi, forum akademik sangat penting bagi memberi pemahaman kepada masyarakat khususnya generasi muda.
Rakyat Malaysia terutamanya generasi muda seharusnya prihatin dan mengambil berat mengenai gejala rasuah yang kini menjadi cabaran globalisasi yang memberi impak yang besar terhadap negara dan dunia. Menurut Y. Bhg. Dato’ Azman, gejala rasuah merupakan gejala yang paling bahaya di dalam sesebuah negara. Justeru itu kerajaan mengambil langkah untuk mewujudkan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia bagi memerangi secara serius gejala rasuah di negara.
Beliau juga berpendapat bahawa kebanyakan perkara di negara kita telah dipolitikkan dan beliau yakin bahawa rasuah juga tidak pernah terkecuali. Makanya, tidak hairanlah bahawa rakyat Malaysia terutamanya penjawat awam atau organisasi telah mula membudayakan politik sebagai survival dengan menggunakan pelbagai taktik untuk kepentingan peribadi.
Apakah kita sedar bahawa gejala rasuah di seluruh negara berada di tahap yang membimbangkan di mana Agensi Transparensi Antarabangsa telah melaporkan CPI (Corruption Perception Index) di mana indeks ini merekodkan tahap gejala rasuah yang berlaku di seluruh negara dikalangan ahli politik dan penjawat awam. Malaysia merupakan negara yang menduduki tangga ke 56 tahap rasuah dinegara sejak tahun 2009. Hal ini menunjukkan semakin banyak kes-kes rasuah yang telah laporkan dan ini membawa kepada tanggapan buruk kepada negara-negara maju serta negara-negara membangun.
Dengan tercetusnya laporan ini, Y. Bhg. Dato’ Paul Low berpendapat bahawa rasuah dan korupsi yang berlaku di negara seperti tidak mengendahkan fungsi dan kuasa SPRM. Justeru itu, penjawat awam, ahli politik harus bertanggungjawab dalam membantu memerangi rasuah.
Terdapat satu persoalan yang bermain di fikiran bahawa apakah yang mendorong kepada perilaku rasuah dan jenayah kolar putih ini? Adakah penjawat awam dan ahli politik yang melakukan jenayah rasuah ini terlalu miskin dan tidak berkemampuan, meminta-minta rasuah, menyeleweng, pecah amanah, membuat tuntutan palsu sehingga melanggar undang-undang yang telah dikuatkuasa?
Terdapat pandangan daripada Dr K. J. John pula, seorang perunding Pembangunan Dasar berkata:”Pembangunan di Malaysia juga masih terlalu didefinisikan secara materialistik manakala budaya dan amalan penjawat awam pada masa kini mendorong kepada perlakuan rasuah”.
Kita tidak dapat menyangkal bahawa pembangunan di negara kita masih bertunjangkan kebendaan semata-mata sehingga aspek-aspek pembangunan rohani amat kurang sekali dititik-beratkan. Hasilnya, meskipun sesebuah negara itu bertambah maju seperti negara di blok pertama, namun kes-kes jenayah dan perilaku buruk makin bertambah dari semasa ke semasa.
Sementara itu, Dr Mohd Ridhuan menekankan dari sudut moraliti seseorang individu di mana kepercayaan kepada agama masing-masing yang membawa kepada perkiraan syurga dan neraka. Islam tidak pernah menghalalkan perlakuan rasuah dan ianya tergolong dalam dosa yang besar. Beliau juga bersetuju bahawa banyak perkara di dalam negara telah dipolitikkan kerana politik adalah mengenai pandangan atau “perception” iaitu tanggapan awal. Sekiranya politik dilihat dari sudut positif maka ianya akan menjadi positif tetapi sekiranya beranggapan politik adalah negatif maka tiada lagi kebaikan yang terkandung di dalamnya.
Justeru, terbentang di hadapan kita satu dilema permasalahan yang cukup kronik dan rumit untuk diselesaikan. Pelbagai tekanan dialami oleh badan berwajib bagi menyiasat dan menguruskan kes-kes rasuah yang semakin berleluasa. Makanya, Y. Bhg. Dato’ Paul telah menyarankan kepada kerajaan Malaysia supaya bertindak lebih efisyen dan progresif dalam mempertahankan reputasi dalam melaksanakan undang-undang.
Beliau berpandangan bahawa Malaysia lebih agresif dalam rasuah-rasuah kecil dan rasuah jenama kerana mereka telah mula melihat kegiatan transaksi wang yang tidak sah, memenangi pilihanraya melalui wang dan sebagainya.
No comments:
Post a Comment