Media merupakan sumber utama kepada kita untuk memperoleh maklumat serta informasi mengenai isu semasa dalam dan luar negara. Semulajadi fenomena sesebuah media untuk menarik perhatian penonton mahupun pembaca dengan mengeluarkan isu-isu yang sensasi serta mampu menarik perhatian pengguna. Kes-kes jenayah contohnya merupakan salah satu isu yang sering berlaku dikalangan masyarakat yang mendapat tempat dalam perhatian media serta pembaca.
Namun begitu budaya media pada ketika ini seolah-olah berubah kerana tidak lagi mementingkan intipati serta maklumat yang hendak disampaikan kepada masyarakat tetapi lebih mementingkan kepada mensensasikan sesuatu berita tersebut supaya pengguna lebih tertarik untuk memilih media tersebut berbanding dengan media yang lain. Pada pendapat saya, fenomena dalam media sebegini tidak membawa apa-apa keuntungan kepada rakyat malah mendidik rakyat untuk memilih berita yang lebih sensasi dan menarik tanpa mengira kandungannya.
Baru-baru ini, Malaysia digemparkan dengan kes pembunuhan seorang pengasas komestik, Dato’ Sosilawati serta tiga mangsa yang lain dibunuh serta dibakar dengan kejam. Kes beliau telah mendapat liputan yang meluas sehinggakan kes pembunuhan beliau telah hampir menemui jalan penyelesaiannya. Namun begitu, apa yang dikesalkan adalah media membuat liputan yang seolah mangsa yang terlibat dalam pembunuhan itu hanyalah Dato’ Sosilawati seorang sahaja. Seakan-akan media kurang member liputan serta perhatian kepada tiga mangsa yang lain iaitu pemandu peribadi, pegawai bank CIMB serta peguam peribadi beliau yang turut menjadi korban yang sama dalam kes jenayah itu. Apakah hanya kerana Allahyarhamah Dato’ Sosilawati terkenal serta mempunyai profil yang tinggi berbanding tiga yang lain menyebabkan beliau mendapat liputan yang lebih meluas? Bagaimanakah keadaan keluarga tiga yang lain setelah berlakunya kejadian malang yang menimpa keluarga-keluarga tersebut? Apakah fenomena ini yang mahu digarap kepada masyarakat supaya memberi perhatian kepada mereka yang lebih terkenal serta mempunyai harta?
Fenomena ini bukanlah baru di dalam media kerana cara yang sama telah dapat dilihat dalam beberapa liputan kes jenayah yang pernah berlaku dikalangan masyarakat. Sekiranya dapat kita imbas kembali mengenai kes penculikan dan pembunuhan adek Nurin Jazlin Jazimin yang diculik serta dibunuh dengan kejam oleh warga Burma pada September 2007 yang lepas pada mulanya mendapat liputan yang penuh pada memulanya mengenai laporan kehilangan sehinggalah kepada terjumpanya mayat kanak-kanak itu di dalam beg pakaian di hadapan sebuah premis di Petaling Jaya dan seterusnya tidak lagi mendapat liputan media mengenai perkembangan tindakan polis tentang mencari pembunuh Allahyarham adik Nurin. Begitu juga dengan kes kehilangan adik Sharlinie yang masih lagi tergantung kerana tiada liputan perkembangan kes kehilangan anak kecil itu sehingga sekarang.
Apakah yang telah terjadi dengan etika serta nilai dalam melaporkan berita yang telah di ajar dan diterapkan kepada setiap wartawan media? Adakah media sebagai penyalur maklumat telah bertukar agenda daripada menyalurkan informasi kepada media yang mempunyai agenda tersembunyi? Pada pendapat saya media seharusnya telus dan menjadi suara kepada masyarakat bagi menyampaikan sesuatu yang bernilai, tepat, seimbang dan tidak hanya kerana ingin mensensasikan sesuatu berita demi kepentingan organisasi. Justeru itu, media seharusnya memainkan peranan yang penting dalam mencorak masyarakat yang lebih seimbang di samping mendidik ke arah pemikiran intelektual dan bermaruah.
No comments:
Post a Comment