KES pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya bersama tiga yang lain telah benar-benar membuka mata rakyat Malaysia bahawa terdapat sekumpulan manusia yang sanggup melakukan apa saja di luar batasan kemanusiaan hanya untuk memperoleh wang ringgit dengan cara mudah.
Bagaimanapun kesan dan akibat pembunuhan itu telah mencetuskan sedikit kekalutan apabila bertebaran sistem perkhidmatan ringkas (SMS) serta mesej di Internet yang meminta tindakan diambil untuk membalas dendam. Namun hasil tindakan pantas polis telah berjaya mengekang perkara ini daripada berlaku.
Seterusnya Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri DATUK T. MURUGIAH telah memberikan kenyataan meminta supaya kegiatan gangsterisme di kalangan masyarakat India perlu ditangani segera. Kenyataan beliau ini dilakukan berasaskan laporan dari Ketua Pemuda MIC Selangor, M.Shanker Raj Ayenger kepadanya yang mendakwa di Selangor sahaja dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini terdapat 300 belia India telah ditahan di bawah Akta Kediaman Terhad dan dipenjara di Simpang Renggam.
“Angka 300 ini adalah satu jumlah yang besar bagi hanya lapan peratus penduduk India di negara ini. Ini adalah satu kebimbangan besar bagi kami kerana jika semakin hari semakin besar jumlahnya, ia akan mengancam keselamatan dan keharmonian negara. Kita tidak mahu dalam keharmonian kaum yang dicapai di negara ini akan dikejutkan dengan banyaknya gangster di kalangan masyarakat India,” ujar Murugiah kepada Wartawan Mingguan Malaysia HAFIZAHRIL HAMID dalam pertemuan pada Jumaat lepas di pejabatnya di Putrajaya.
Kenapa masalah gangsterisme di kalangan masyarakat India berlaku? Murugiah berkata "Bagi saya kenapa gangsterisme di kalangan masyarakat India berlaku kerana terlalu banyak filem-filem dan drama bersiri India yang disiarkan di sebuah televisyen berbayar. Bagi saya sudah sampai masanya untuk elemen-elemen negatif ini ditangani. Selain itu pelajar-pelajar di peringkat sekolah menengah perlu diberi tumpuan. Mereka ini mungkin lebih terdedah kerana bergaul dengan pelajar-pelajar di pelbagai sekolah. Sekolah menjadi tumpuan kepada gangsterisme kerana mereka ini datang dari pelbagai aliran dan latar belakang. Bila sudah bercampur maka senang mereka untuk terjebak dalam kegiatan jenayah. Namun saya difahamkan polis meletakkan seorang pegawai mereka berpangkat inspektor dan dijadikan bapak angkat di sekolah-sekolah. Mereka ditugaskan untuk mengawal selia perkembangan di sekolah. Namun untuk memastikan masyarakat India tidak terlibat dalam gangsterisme mereka perlu dididik sejak sekolah rendah.
Bagaimanapun saya memohon supaya seluruh masyarakat India bersatu dan duduk semeja dalam menangani masalah gangsterisme. Ini lebih baik daripada mereka hanya mengkritik dan memburukkan kerajaan kerana tidak melakukan apa-apa. Hakikatnya kerajaan telah melakukan sedaya upaya dalam pelbagai sudut contohnya menyediakan peluang pekerjaan dan sebagainya.
Kalau pendatang dari Bangladesh dan Indonesia boleh datang ke sini dan bekerja serta hidup selesa kenapa orang tempatan sendiri tidak boleh mendapat kerja dan hidup selesa. Namun akibat tamak dan hendak melakukan kerja mudah maka itu sebabnya ada yang terlibat dalam kegiatan gangsterisme. Mereka terlibat kerana mahu mendapatkan keuntungan singkat tanpa perlu bersusah payah bekerja. Seperti yang kita lihat dalam kes pembunuhan Datuk Sosilawati dan tiga rakannya, ini semua kerana duit. Mereka mencari duit tetapi bukan secara halal tetapi haram. Apa yang telah berlaku adalah sesuatu yang tidak boleh diterima dan masyarakat India mengutuk sekeras-kerasnya kekejaman ini.
No comments:
Post a Comment